Jadual Sabtu yang sibuk di Johor Bahru

Program 1

Semalam telah berlangsung larian Cancer Run yang diadakan di Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Saya telah diberikan peluang untuk menyempurnakan Flag Off kepada lebih 700 pelari yang turut serta.

Saya berharap acara ini bukan acara larian semata-mata tetapi turut meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan yang lebih baik untuk menghindari kanser.

Terima kasih kepada para penganjur dan peserta yang telah menjayakan program ini.

Program 2

Pada hujung minggu lalu, saya telah turut serta dalam program Gotong Royong bagi membersihkan kawasan sekolah di Sekolah Kebangsaan Kompleks Uda, Bandar Baru Uda.

Kemudian, saya telah bersama penduduk setempat dalam satu Program Penutup Gotong Royong Denggi di Flat Jalan Barli Skudai Kanan.

Terima kasih kepada pihak penganjur dan para peserta yang terlibat secara sukarela dalam memastikan persekitaran yang bersih.

Di samping itu, aktiviti seperti ini juga saya yakin akan dapat mengeratkan lagi hubungan masyarakat setempat.

Program 3

Sabtu lalu saya berada di Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari bagi Perasmian Penutup Program Karnival Keusahawanan yang telah diadakan.

Saya merasakan ini adalah satu inisiatif yang sangat baik bagi membudayakan keusahawanan dalam kalangan masyarakat Malaysia sejak di bangku sekolah lagi, selari dengan hasrat kerajaan.

Sebelum ini pun saya telah menekankan pentingnya untuk negara menghasilkan bakat-bakat usahawan yang akan menjadi salah satu pemacu utama ekonomi negara.

Tahniah kepada pihak sekolah dan saya berharap karnival keusahawanan seperti ini dapat diadakan di sekolah-sekolah yang lain juga.

Program 4

Sabtu malam yang lalu, saya berbesar hati memenuhi jemputan daripada komuniti Cina Tiong Hua bagi Majlis Penutupan Pesta Tanglung Johor Bahru yang diadakan di Wisma Tiong Hua.

Dalam ucapan pada malam itu, saya telah menekankan betapa uniknya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum bebas untuk mengamalkan kepercayaan dan menyambut perayaan masing-masing.

Masyarakat Malaysia sememangnya telah dibentuk dengan nilai tolak ansur dan hormat menghormati, yang telah menjamin keamanan negara sehingga ke hari ini.

Kita tidak seharusnya mensisihkan mana-mana kelompok masyarakat hanya disebabkan sikap buruk yang ditonjolkan oleh segelintir daripada mereka.

Saya berharap setiap anggota masyarakat khususnya di Johor Bahru dapat memainkan peranan bagi membentuk sebuah komuniti yang harmoni dan saling memahami, dan tidak melepaskan tanggungjawab tersebut kepada ahli politik semata-mata.

Melawat Pangsapuri Desa Hajjah Hasnah

Pada hari Jumaat yang lalu saya telah meluangkan masa melawat dan menyerahkan bantuan dari Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru kepada para penerima yang tinggal di Pangsapuri Desa Hajjah Hasnah.

InsyaAllah semoga bantuan tersebut dapat membantu meringankan sedikit beban kepada keluarga penerima.

Menuju Wawasan Kemakmuran Bersama 2030

Kerajaan dijangka akan memberi tiga fokus utama dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030. Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, wawasan itu bertujuan untuk memastikan rakyat mendapat bahagian yang adil mengikut kategori masing-masing.

Tiga fokus utama dalam Wawasan Kemakmuran Bersama ialah merapatkan jurang pendapatan antara negeri, merapatkan jurang antara golongan yang kaya dengan yang miskin serta merapatkan jurang antara penduduk bandar serta luar bandar.

Ini kerana kesenjangan ekonomi yang berlaku selama ini memberi impak kepada negara dengan menghambat pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Pada masa akan datang, negeri-negeri yang miskin akan diberi perhatian yang lebih bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka. Begitu juga dengan pendapatan antara golongan kaya dengan golongan yang miskin.

Manakala jurang bagi penduduk bandar dan luar bandar yang dikenal pasti akan diselesaikan menerusi program-program yang berkesan.

Apa pandangan anda? Sila klik pautan di bawah untuk bersama-sama memberikan pandangan.

http://belanjawan2020.treasury.gov.my/index.…/…/kajiselidik…

Lawatan ke Tapak Projek Desa Larkin

Pada hujung minggu lalu, saya telah melakukan lawatan ke Tapak Projek Desa Larkin bersama Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).

Untuk pengetahuan, Projek Desa Larkin sebenarnya telah terbengkalai selama lebih 15 tahun.

Alhamdulillah, kini projek pembinaan tersebut telah bersambung semula dan dijangka siap tidak lama lagi.

Tindakan keras terhadap syarikat Malaysia akibat jerebu

Kerajaan dikhabarkan akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat Malaysia yang mengusahakan ladang-ladang di Indonesia sehingga menyebabkan berlakunya masalah jerebu.

Ini berikutan keadaan jerebu yang melanda negara pada ketika ini sangat membimbangkan. Ia bukan sahaja melibatkan Malaysia dan Indonesia, malah menjadi isu serantau kerana melibatkan beberapa buah negara Asean yang lain seperti seperti Singapura dan Thailand.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan dalam usaha menangani kesan jerebu seperti melaksanakan pembenihan awan yang memakan belanja yang agak tinggi.

Menurut Perdana Menteri, syarikat-syarikat yang terlibat harus dipertanggungjawabkan atas kebakaran ladang-ladang milik mereka meskipun kawasan tersebut terletak di luar Malaysia.

Sembang Santai pelajar bersama YB

Semalam, saya telah meluangkan masa bersama para pelajar Tingkatan 5 SMK St Joseph (B) Johor Bahru dalam satu program Sembang Santai yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

Tujuan program diadakan sedikit sebanyak untuk memberikan semangat dan motivasi kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi.

Saya sempat juga mengimbau dan berkongsi beberapa kisah tentang zaman persekolahan dan universiti saya

Diharap sesi perkongsian tersebut bermanfaat dan memberi keyakinan kepada mereka bagi menghadapi peperiksaan SPM dan seterusnya menjalani kehidupan selepas zaman persekolahan dengan baik insyaAllah.

Semoga berjaya!

Sistem JPN ditambah baik atasi masalah Mykad palsu

Beberapa langkah drastik telah dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri pada masa kini bagi memastikan isu-isu berkenaan Mykad Palsu berjaya dibanteras. Antaranya ialah memberhentikan serta-merta pendaftaran lewat kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN). Pendaftaran hanya boleh dilakukan di ibu pejabat JPN untuk semak dan imbang.

Keduanya, nazir akan kerap melakukan lawatan mengejut ke semua bahagian JPN bagi memastikan semua tatacara yang telah ditetapkan dipatuhi. Ketiga, pegawai JPN akan ditukar secara pusingan bagi mengelakkan satu-satu pegawai berada di posisi sama lebih daripada 2 tahun seterusnya meminimumkan salah guna kuasa.

Keempat, JPN akan menyemak semula semua sijil lahir yang belum dituntut untuk dinyahaktifkan dari sistem pangakalan data bagi mengelakkan dari di salah guna. Dan kelima, KDN sedang dalam usaha mengusulkan pengwujudan bank data DNA bagi dimasukkan dalam sijil kelahiran.

Segala tindakan yang dilakukan ini adalah diharapkan dapat menyelesaikan kemelut Mykad palsu yang semakin menjadi-jadi yang mengancam kedaulatan negara. Bagi mereka yang terlibat, tindakan udang-undang akan dikenakan dengan hukuman yang wajar.

Festival Tanglung dan Mooncake di Taman Sentosa

Pada Sabtu malam saya telah meluangkan masa bersama komuniti Cina bagi menyambut Festival Tanglung dan Mooncake di Taman Sentosa.

Sempat bertanya khabar dengan kenalan dan bertukar cerita mengenai isu-isu semasa setempat mahupun negara.

Dalam ucapan pendek saya pada malam itu, saya ada menyentuh mengenai keperluan untuk saling menghormati dan meraikan perbezaan kaum dalam negara kita.

Saya yakin masyarakat tidak akan mudah terpengaruh dengan agenda politik perkauman yang dimainkan oleh sesetengah pihak demi kepentingan diri sendiri.

Terima kasih kepada semua yang telah hadir memeriahkan majlis.

Sijil Program Usahawan anjuran Bidadari Johor

Pada Sabtu yang lalu, saya memenuhi jemputan Kelab Usahawanita Bidadari Johor (Bidadari) bagi menyampaikan Sijil Program Usahawan Bidadari kepada para peserta.

Pelbagai kelas yang ditawarkan dalam program ini seperti pastri, memasak, kelas jahitan, kelas refleksologi dan kelas decoupage.

Terima kasih kepada Bidadari yang komited untuk menjalankan program-program yang menjurus kepada pembangunan ekonomi mahupun sosial golongan wanita di Johor Bahru.

Saya lihat para peserta terdiri daripada pelabagai peringkat umur dan latar belakang yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

Saya harap lebih ramai golongan wanita akan dapat turut serta dalam program-program yang akan datang dalam usaha kita untuk membentuk sebuah komuniti usahawan yang maju dan berdaya saing insyaAllah.

Follow page Bidadari di https://www.facebook.com/bidadarijohor2019/

Pensijilan Halal tetap di bawah kuasa JAKIM

Rakyat tidak perlu bimbang mengenai status pensijilan halal yang dikeluarkan di Malaysia ketika ini.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, pensijilan halal masih tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dalam masa yang sama tidak ada mana-mana agensi atau badan yang diberi hak untuk menguruskan isu pensijilan halal di Malaysia termasuklah Kementerian Kewangan (MOF).

Segala aspek berkenaan pensijilan halal termasuk prosedur pensijilan, takrifan halal serta sistem jaminan halal terletak di bawah Bahagian Pengurusan Halal Jakim.

Maka kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa pensijilan halal tidak lagi berada di bawah Jakim sebaliknya MOF tidak berdasarkan maklumat yang tepat, menyeleweng dan berniat jahat demi menanam ketakutan dalan kalangan masyarakat Melayu Islam.

Justeru segala isu yang dikeluarkan oleh individu tertentu perlu disaring dengan merujuk kepada sumber-sumber yang benar bagi mengelakkan salah faham dan seterusnya menjadi fitnah dalam kalangan rakyat.