Tangani lambakan pekerja asing dalam negara

BAHAGIAN 1

Isu gaji rendah turut berkait rapat dengan pengambilan pekerja asing dalam pasaran buruh.

Kebergantungan kepada pekerja asing yang berkemahiran rendah telah membebankan ekonomi Malaysia. Antara kesannya adalah mengekang pertumbuhan produktiviti, membantutkan pertumbuhan gaji dan menggalakkan pewujuduhan pekerjaan berkemahiran rendah.

Hasrat Malaysia untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi tidak akan tercapai selagi syarikat dan majikan di Malaysia masih lagi berlumba-lumba untuk mengurangkan kos pekerja dan tidak sanggup membayar lebih untuk pekerja tempatan.

Menurut sumber, kewujudan sekurang-kurangnya 2 juta perkeja asing telah menyebabkan pertumbuhan gaji yang rendah pada kadar 2.4 peratus. Namun begitu, kadar gaji harus berkembang pada purata pelarasan inflasi tahunan 3.5 peratus untuk membolehkan negara mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2023.

Oleh itu, melihat kepada situasi peratusan pertumbuhan gaji yang rendah yang dihadapi oleh pasaran buruh ketika ini, terdapat kemungkinan yang tinggi bahawa peningkatan angka KDNK pada tahun-tahun sebelum ini didorang oleh pertambahan pekerjaan yang hanya tertumpu kepada kemahiran rendah dan sederhana.

Di Malaysia, memang sudah menjadi kebiasaan golongan majikan untuk mengambil pekerja asing untuk mengisi pekerjaan ini disebabkan kos yang lebih murah (gaji lebih rendah). Ini disokong oleh data yang telah dikeluarkan.

Bagi tahun 2011 hingga 2015, kita telah melihat beberapa rekod pekerja asing yang berdaftar melonjak naik iaitu daripada 1.82 juta orang (2010) kepada 2.14 juta orang (2015). Menurut Persekutuan Majikan Malaysia, anggaran jumlah pekerja asing yang berdaftar dan tidak berdaftar adalah sekitar 6 juta orang pada 2016, ini bersamaan dengan kira-kira 40 peratus daripada jumlah tenaga kerja di negara ini.

Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak 2019

Alhamdulillah syukur kehadrat Ilahi kerana telah diberikan peluang untuk bertemu dengan bulan Ramadhan sekali lagi.

Firman Allah S.W.A:
‘Hai orang-orang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”
[ Surah Al-Baqarah : 183 ]

Sesungguhnya kehadiran bulan mulia yang penuh barakah menimbulkan rasa insaf kita sebagai umat Islam dengan mensyukuri nikmat yang telah diberikan oleh Allah S.W.A

Bulan ini turut mengingatkan kita kepada golongan fakir-miskin yang tidak berkemampuan dengan menahan lapar dan dahaga dalam meneruskan kelangsungan hidup sehari-harian.

Sebagai bulan yang terdirinya Madrasah Ruhiyyah yang menawarkan tawbah dan ghufra (taubat dan keampunan) kepada hamba-hambanya yang beriman, marilah sama-sama kita memaknai bulan Ramadhan dengan menghayati, minginsafi dan menjiwai bulan mulia ini dengan amal dan kebajikan.

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Gotong-royong bersama penduduk Taman Pelangi

Semalam saya telah bersama komuniti setempat mengadakan gotong royong di Pasar Pagi Taman Pelangi bagi membasmi wabak denggi di kawasan sekitar.

Kemudian, menyertai gotong royong pembersihan Masjid Taman Pelangi sempena menyambut bulan Ramadan bersama-sama AJK Masjid, penduduk setempat dan sukarelawan.

Terima kasih kepada komuniti Taman Pelangi dan Masjid Taman Pelangi yang telah bersama-sama menjayakan usaha ini.

Aktiviti-aktiviti menjelang Ramadhan al-Mubarak

SABTU

Majlis Ambang Ramadhan bersama anak yatim dan warga emas.

Semarak Ramadhan anjuran IKRAM Johor di Pangsapuri Desa Hajjah Hasnah.

Majlis Ramah Mesra bersama penduduk di Taman Datin Rohani, Century Garden.

AHAD

Sarapan potluck bersama penduduk setempat di Kim Teng Park.

Sempat menziarahi bekas pejuang yang kini sedang sakit.

Majlis Perasmian Pusat Penjaja Usahawan Parlimen Johor Bahru di Larkin Idaman.

Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program-program ini. 👍🏼

Forum “The State of the Labour Market in Malaysia”

Semalam saya telah diberi peluang untuk menganjurkan forum dengan kerjasama beberapa persatuan UIA yang bertajuk “The State of the Labour Market in Malaysia”.

Forum tersebut telah membincangkan realiti sebenar alam sektor buruh di Malaysia terutamanya isu gaji rendah yang menjadi salah satu faktor utama kos sara hidup tinggi.

InsyaAllah perbincangan forum akan turut diadakan di universiti-universiti tempatan yang lain.

Apabila lebih ramai masyarakat memahami situasi sebenar, secara tidak langsung akan menjurus kepada gesaan penstrukturan semula sektor buruh untuk pemberian gaji yang lebih setimpal.

Terima kasih kepada pihak penganjur dan para pelajar dan pensyarah yang telah menjayakan forum ini.

Food Bank Siswa bantu mahasiswa lapar

Tengah hari tadi dalam satu sesi perbincangan bersama YB Menteri KPDNHEP Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail dan badan-badan yang telibat dalam pelaksaan program Food Bank Malaysia.

Perlaksanaan Program Food Bank Siswa di beberapa buah Universiti Awam (UA) telah memberikan impak positif kepada mahasiswa. Program yang menyasarkan mahasiswa berlatarbelakang keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dilihat mampu menangani isu mahasiswa lapar.

Ketika ini pihak kementerian sedang menyasarkan pelaksanaan program Food Bank Siswa ke 20 UA sebelum Disember tahun ini, dalam masa yang sama memerlukan kerjasama dan komitmen dari pelbagai pihak untuk menjayakannya.

Dijangka, program ini bakal diperluas ke Institusi Pendidikan Guru (IPG), Kolej-kolej Komuniti, Sekolah Agama dan universiti-universiti swasta pada masa akan datang.

Kejohanan Renang Piala YB Akmal Nasir

Semalam telah diadakan Kejohanan Renang Piala YB Akmal Nasir buat pertama kali anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru dan Persatuan Kebajikan dan Keharmonian Larkin, Johor Bahru.

Sasaran 150 orang peserta tetapi kita terima penyertaan 360 perenang berusia 7 tahun hingga 18 tahun!

Insyallah kita akan jadikan sebagai acara tahunan bagi meraikan komuniti renang sekitar Johor Bahru.

Terima kasih kepada para peserta dan petugas yang telah sama-sama menjayakan kejohanan sulung ini.

Usaha kerajaan kekalkan tanah rizab melayu

Kerajaan Persekutuan ketika ini sedang berusaha untuk membeli seluruh tanah di Kampung Baru bagi dimajukan secara sistematik.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, pihak kementerian sedang mengkaji mekanisme terbaik mendapatkan dana sebanyak RM6 – RM10 bilion termasuk membenarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan bon perbandaran atau sukuk.

Pembelian tersebut bertujuan mengekang pemilik tanah di kawasan tersebut menjual tanah mereka kepada pihak pemaju hartanah. Dengan pembelian ini, secara tidak langsung status tanah di kawasan tersebut bakal kekal dan terpelihara menjadi tanah rizab Melayu.

Pemilik tanah atau waris bakal mendapat pampasan dari pihak kerajaan sama ada dalam bentuk wang, hartanah, atau separuh wang dan separuh hartanah.

Usaha ini wajar dilakukan bagi tujuan menstruktur semula pembangunan di kawasan Kampung Baru dengan penempatan lebih moden dan bersepadu masyarakat Melayu secara terancang, tersusun di tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Ketika ini, lebih 80 peratus penduduk di Kampung Baru bersetuju dengan tawaran yang dikemukakan oleh pihak kerajaan untuk dibangunkan berbanding pembelian oleh pihak swasta.