Kiosk myKopie bimbing mahasiswa jadi usahawan

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah menyerahkan Kiosk MyKopie kepada beberapa buah politeknik dan Institusi Pengajian Tinggi Awam. Buat masa ini penyerahan Kiosk tersebut dilakukan di Negeri Sembilan.

Memandangkan golongan belia merupakan golongan pelapis, maka penyerahan Kiosk tersebut bertujuan memberi pendorong kepada mahasiswa untuk memulakan perniagaan, dalam masa yang sama dapat melahirkan usahawan muda dalam kalangan pelajar.

Pelajar yang berdaftar sebagai ahli kelab MyAgrosis di kampus-kampus dijangka akan dapat menerima manfaat dengan adanya kemudahan yang bernilai sebanyak RM7,500 ini termasuk bekalan bahan mentah.

Terdapat dua pakej perniagaan yang ditawarkan oleh MyKopie iaitu Kiosk Mudah Alih dan Kiosk Lipat dengan menjuual produk minuman berasaskan kopi.

Ulang Tahun Reformasi 20 Tahun Keadilan!

Moga idealisme itu kekal.

Terima kasih kepada pejuang Reformis.

Saya berpeluang memimpin anak muda tatkala parti ini sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan sedangkan saudara-saudari yang memulakan perjuangan 20 tahun lalu tidak sempat bersama kejayaan ini.

Kini menjadi cabaran kepada anak muda untuk mengekalkan semangat Reformasi.

Moga parti yang dibina ini terus segar dan kekal dengan prinsipnya.

KPLB lancar HERS FUND

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun telah melancarkan Dana Harapan Strategi Realisasi Keusahawanan (HERS FUND) bagi membantu usahawan wanita luar bandar dengan peruntukan sebanyak RM 20 juta.

Program khas ini berlandaskan konsep ‘mentor-mentee’ dengan tujuan memberi bimbingan secara intensif kepada usahawan wanita desa bagi meningkatkan kapasiti.

Pelaksanaan program ini selari dengan Teras 5 Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar iaitu Memperkasa Wanita Luar Bandar. Ketika ini, hanya 27 peratus daripada 83,693 usahawan desa merupakan usahawanita.

Untuk permulaan, lima usahawanita yang berjaya daripada program Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED 2) akan menjadi ‘mentor’ bagi membantu 40 usahawan wanita desa lain sebagai ‘mentee’ dan seterusnya mampu mengembangkan perniagaan sendiri.

Di bawah program ini, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan peningkatan usahawanita desa sehingga 40 peratus.

Isu baki setinggan Kg Melayu Majidee

Saya telah bangkitkan isu baki setinggan Kg Melayu Majidee, Johor Bahru yang terletak atas Rezab Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru semalam di Parlimen.

Hampir 40 buah rumah/binaan yang telah menerima notis untuk membuka bangunan / bangsal / pondok yang telah didirikan di atas Tanah Rezab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada hujung tahun lepas.

Saya telah melawat ke rumah-rumah berkenaan bersama-sama dengan Penghulu, Ketua Kampung, Ahli Majlis dan wakil-wakil jabatan dan mendapati rata-rata mereka yang meneroka kawasan tersebut adalah orang lama dan kurang berkemampuan.

Susulan lawatan tersebut, satu Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Penguatkuasaan telah diadakan pada 31 Januari 2019 yang melibatkan semua pihak yang berkaitan dan diikuti dengan mesyuarat susulan pada 18 Febuari 2019 yang turut melibatkan wakil penduduk kampung bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat.

Saya telah kemukakan perkara ini kepada Y.B Menteri Pengangkutan dan juga menyerahkan surat rayuan mewakili penduduk kampung agar kita dapat cari jalan penyelesaian yang baik untuk semua pihak.

Tonton video di sini. https://www.facebook.com/watch/?v=405642216901906

Tabung Haji selesai proses pemulihan, akan umum hibah

Semalam saya telah turut serta dalam satu sesi taklimat yang berkaitan kedudukan terkini pengurusan dan kewangan Tabung Haji (TH).

Salah satu dapatan yang mengejutkan yang ditemui oleh pengurusan baru adalah kedudukan kewangan defisit pada tahun 2017 sebanyak RM4billion!

Menurut Akta Tabung Haji Seksyen 22(3), TH tidak boleh memberikan hibah jika nilai aset kurang daripada liabiliti. Dalam erti kata lain, jika kedudukan kewangan berada dalam keadaan defisit.

Laporan polis juga telah dibuat terhadap beberapa pegawai yang telah menyebabkan berlakunya kerosakan kewangan TH untuk siasatan lanjut.

Alhamdulillah, TH kini sudah hampir selesai menjalani proses pemulihan selepas kerosakan dan salah tadbir urus yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

TH kini dalam usaha penstrukturan semula aset bagi memastikan nilai aset melebihi liabiliti bagi membolehkan pemberian Hibah untuk tahun 2018.

Pengerusi PAC ditukar, satu perkembangan baik

Satu perkembangan yang baik untuk hari ini. PAC akan kembali diketuai oleh Ahli Parlimen pembangkang.

Walaupun ramai yang mengkritik tindakan YB Nurul Izzah sebelum ini ekoran perletakan jawatannya dalam PAC, saya melihat desakannya berhasil dalam memastikan reformasi institusi terus berjalan dalam pentadbiran Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan tidak terdiri daripada ahli-ahli parlimen yang sekadar menjadi ‘pak turut’ seperti kerajaan sebelum ini.

InsyaAllah kita akan terus memastikan usaha reformasi institusi itu sentiasa berjalan bagi memastikan urus tadbir yang baik dan bersih.

Baca di sini.

https://www.malaysiakini.com/news/470784

PH komited bantu rakyat, elak isu perkauman

“Sebagai contoh isu ekonomi dan perkauman, itu komen mereka (UMNO-Pas) untuk membina dan membuka jaringan lebih baik, bagi saya itu tidak menjadi masalah.

Cuma apa yang terjadi, asyik salah menyalahkan sehingga timbulkan isu sentimen kaun dan agama, ia tidak akan ada jalan penyelesaian,” jelasnya. Rakyat mahu ekonomi yang lebih baik.

“Kembali kepada asas apa yang rakyat hendak. Rakyat mahukan ekonomi yang baik dan solusi kepada kos sara hidup tinggi. Dulu kenapa rakyat beri PH pimpin negara?”

Baca di sini.

https://www.sinarharian.com.my/article/21433/KHAS/Wacana/PH-lebih-minat-bantu-rakyat-dari-cakap-isu-perkauman

Tanaman Cendawan Jerami Jana Pendapatan

Tanaman cendawan jerami atau nama saintifiknya Volvariela Volvace bukan sesuatu yang baru memandangkan perusahaan ini sudah diperkenalkan di Padang Terap, Kedah sejak tahun 2014. Usaha itu dilakukan oleh Pejabat Pertanian Daerah Padang Terap bagi mengatasi pekebun kecil ekoran masalah harga getah yang tidak menentu.

Tanaman ini sangat mudah dan ringkas berbanding cendawan lain kerana mudah tumbuh di medium yang mempunyai selulosa seperti sisa tandan sawit, sisa jerami padi, sisa kulit buah pala. Namun penggunaan sisa tandan sawit dan sisa jerami padi lebih kerap digunakan memandangkan medium tersebut mudah diperolehi.

Cendawan ini sangat mudah tumbuh dalam beberapa hari tanpa perlu menggunakan sebarang baja mahupun racun serangga. Dengan harga pasaran sekilogram sebanyak RM20, ditambah dengan permintaan yang semakin meningkat, pekebun kecil mampu menjana pendapatan sampingan sehingga RM2,700 sebulan sekiranya mampu menyediakan 20 batas tanaman cendawan.

Cendawan ini mampu mencegah pelbagai penyakit seperti diabetis, kurang darah dan anemia. Malah, ia mempunyai kandungan vitamin dan mineral yang tinggi.

Adalah diharapkan agar tanaman ini menjadi tanaman sampingan untuk menambahkan pendapatan bagi pekebun getah dan kelapa sawit memandangkan harga komoditi pasaran tersebut hari ini yang tidak lumayan.

Sambutan Isra’ Mikraj

Salam Israk Mikraj saya ucapkan kepada seluruh umat Islam di Malaysia. Peristiwa bersejarah ini mengingatkan kita semua kepada perjalanan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W pada ¾ malam dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa (Israk) dan perjalanan dari Masjid Al-Aqsa ke Sidratul Muntaha bagi melihat keindahan, kekuasaan dan kebesaran ciptaan Allah S.W.T sebelum bertemu Allah S.W.T tuhan pencipta alam (Mikraj).

Firman Allah S.W.T ;
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
[ Surah Al-Isra’ : 1 ]

Peristiwa ini sangat bermakna bagi umat Islam kerana bermulanya dua perkara iaitu penetapan solat fardhu 5 waktu dan penukaran arah kiblat dari Masjid Al-Aqsa ke Masjid Al-Haram yang menjadi kiblat kita sehingga ke hari ini..

Semoga peristiwa besar ini dapat memberi iktibar kepada kita semua.

Perkembangan Projek PRIMA Tebrau

Saya telah menerima aduan daripada beberapa pembeli rumah PR1MA dan telah menyusun satu pertemuan dengan wakil pembeli PR1MA Tebrau sebelum Parlimen bersidang untuk sesi ini.

Mereka telah melahirkan kerisauan mengenai kemajuan pembinaan PR1MA apabila pihak kontraktor dilihat memperlahankan kerja-kerja pembinaan sedangkan projek tersebut dilihat hampir siap.

Saya juga risau jika perkara yang sama berlaku bagi projek-projek PR1MA yang lain, maka saya kemukakan soalan Parlimen.

Saya lampirkan jawapan Menteri sebagai perkongsian dan Alhamdulillah tiada projek PR1MA yang terbengkalai.

Namun kita kena sama-sama peka untuk pastikan projek PR1MA siap.