Nisbah gaji menurun dalam tempoh 10 tahun lepas

(Bahagian 2)

Baca Bahagian 1 di sini

Kesannya, nisbah gaji dengan nilai tambah dalam bidang pembuatan dianggarkan berkurang daripada 36% pada tahun 2000 kepada hanya 26% pada tahun 2010. Situasai ini adalah tidak adil kepada pekerja. Pendapatan syarikat meningkat tetapi pembahagian kepada tenaga buruh masih kekal rendah.

Merujuk kepada perbandingan dengan negara-negara lain, pertumbuhan produktiviti Malaysia mendahului negara maju seperti Luxembourg, Amerika Syarikat, Jepun, Australia dan Singapura. Walau bagaimanapun, Malaysia masih ketinggalan jika dibandingkan daripada segi tahap produktiviti.

Tahap produktiviti Malaysia sama ada dalam output bagi setiap bilangan pekerja atau output bagi setiap jam bekerja adalah yang tertinggi di antara negara Asia terpilih. Namun, daripada segi pertumbuhan produktiviti, Malaysia adalah lebih perlahan berbanding China, India, dan Filipina.

RMKe-11 telah menetapkan sasaran minimum pertumbuhan produktiviti buruh tahunan sebanyak 3.7% dan tahap produktiviti pada RM92,300 menjelang 2020. Lima teras strategik telah dirumuskan sebagai asas cadangan untuk meningkatkan produktiviti.

Lima teras strategik itu adalah menghasilkan tenaga kerja masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, memastikan akauntabiliti industri terhadap produktiviti, membentuk ekosistem yang teguh dan menentukan mekanisme pelaksanaan yang padu.

Kerajaan perlu memastikan bahawa peningkatan produktiviti perlu diterjemahkan kepada pemberian gaji setimpal kepada golongan pekerja. Pihak majikan khususnya perlu bertindak adil dalam pembahagian kekayaan di samping menggalakkan penghasilan pekerjaan berkemahiran tinggi yang lebih banyak.

Pertumbuhan gaji pekerja lambat, tidak seiring produktiviti

(Bahagian 1)

Laporan Produktiviti 2017/2018

Berdasarkan carta di atas, dapat dilihat bahawa pertumbuhan produktiviti negara adalah pada tahap yang baik. Malaysia mensasarkan pertumbuhan sebanyak 3.7% pada tahun 2018.

Peningkatan gaji yang setimpal sering kali dikaitkan dengan pertumbuhan produktiviti. Namun begitu, menurut Dr. Muhammed Abdul Khalid, peningkatan gaji tidak seiring dengan kadar pertumbuhan produktiviti yang tinggi.

Contohnya, dalam sektor perkilangan Malaysia pada dekad lepas, produktiviti buruh bertumbuh pada purata 5% setiap tahun, tetapi purata sebenar gaji perkilangan berkembang pada kadar yang jauh lebih lambat iaitu hanya 2.4%.

Jika dilihat pada tempoh antara tahun 1998 dan 2007, pengeluaran bagi setiap pekerja dalam sektor perkilangan meningkat lebih kurang 180% tetapi peningkatan gaji pada jangka waktu yang sama meningkat hanya 73%.

Peningkatan produktiviti di Malaysia biasanya dipacu oleh penggunaan teknologi automasi bagi menggantikan tenaga kerja manusia. Penerapan teknologi tinggi dalam industri perkilangan contohnya telah membantu meningkatan pengeluaran dan menambah pendapatan.

Namun begitu, pertumbuhan produktiviti jarang sekali dikaitkan dengan penghasilan jenis pekerjaan berkemahiran tinggi yang lebih melibatkan inovasi. Oleh yang demikian, walaupun dengan angka pertumbuhan produktiviti yang memberansangkan, jenis-jenis pekerjaan yang wujud masih lagi berkemahiran rendah dan sederhana.

Program untuk kawal harga produk makanan tani

Bagi memastikan harga produk makanan tani murah dan berpatutan kepada rakyat, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bakal mewujudkan Agro Mall FAMA. Program yang berbentuk pasar raya ini merupakan lanjutan kepada usaha kerajaan memasarkan hasil pertanian selepas pembukaan Pasar Tani dan Agrobazar.

Memahami masalah petani dan peladang yang tidak menerima hasil yang lumayan disebabkan orang tengah, ditambah dengan harga pasaran yang agak tinggi maka inisiatif penubuhan Agro Mall merupakan suatu yang wajar.

Pasar raya ini bakal menghubungkan golongan petani dan peladang kepada pengguna secara terus. Secara tidak langsung ia dapat mengatasi masalah monopoli orang tengah seterusnya dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Buat permulaan projek ini bakal dilaksanakan di Puchong pada penghujung tahun ini memandangkan projek pecah tanah sedang dilaksanakan pada bulan April. Kita mengharapkan agar program-program seumpama ini dapat dikembangkan bagi memberi manfaat kepada seluruh pengguna.

Sekitar kempen di PRK Rantau

April 5

Alhamdulillah selesai program ceramah kelompok petang Pemuda Harapan bersama penduduk setempat Angsamas.

April 6

Pagi ini ‘walkabout’ di DM Kuala Sawah bersama calon Dr Streram dan YB Wong Chen. Satu Malaysia 🇲🇾

Alhamdulillah rata-rata penduduk tempatan menunjukkan respon yang baik. Hujung minggu terakhir sebelum hari pengundian Sabtu depan.

Sekitar program Hit & Run di Pasar Malam Angsamas anjuran Pemuda Harapan.

Edar risalah kepada pengundi di samping cuba memahami permasalahan dan keperluan penduduk tempatan.

April 12

Kita masuk kempen sebagai underdog, tetapi digagahi juga bagi melakukan sesuatu yang luar biasa di Rantau.

Terima kasih kepada jentera pemuda dan Angkatan Muda KEADILAN yang telah berkempen rumah ke rumah, ceramah kelompok dan program kebajikan kepada masyarakat setempat.

Juga penghargaan kepada Unsung heroes yang menyusun program, pasang bendera, gantung poster dan banner, mobilisasi dan pelbagai lagi tugasan yang diberikan.

Di penghujung ini kami mengajak pengundi-pengundi Rantau untuk melaksanakan tanggungjawab esok.

Malam ini tinggal beberapa lagi siri kempen dan pasukan utama akan tumpukan kepada GoTV dan PACA.

Cuma setiap permulaan usaha akan ada pengakhiran, dan selebihnya kita berserah kepada Allah.

Selamat memilih kepada pengundi DUN Rantau esok.

#UndilahHarapan

Delegasi wakil rakyat Kenya ke Parlimen

YB Dato’ Speaker telah menjemput saya bersama beberapa Ahli Parlimen lain untuk meraikan kehadiran delegasi wakil rakyat Kenya ke Parlimen.

Delegasi ini terdiri diketuai Majority Leader untuk Legislative Of Representative (yang berfungsi seperti Parlimen) yang turut disertai Minority Reps dan Senator.

Menariknya, Parlimen mereka diberikan autonomi yang baik dan mempunyai pendekatan untuk pastikan perwakilan yang lebih adil dari segi gender dan juga kumpulan tertentu (OKU dll).

Semoga lawatan mereka boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua buah negara.

Diskaun 20 peratus perkhidmatan komuter

Menyedari kos sara hidup rakyat, kerajaan telah memberikan tambahan diskaun 20 peratus bagi tambang perkhidmatan komuter. Usaha ini dilakukan oleh Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Diskaun tersebut hanya akan diterima oleh rakyat Malaysia sekiranya mempunyai kad XTRA 20. Pengguna disarankan memiliki kad XTRA 20 di mana-mana stesen perkhidmatan komuter secara percuma kepada 40,000 kad terawal dengan hanya menunjukkan My Kad.

Bagi kad berikutnya, pengambilan setiap kad akan dicaj sebanyak RM3. Usaha yang dilakukan ini adalah bertujuan menambah jumlah penumpang pengangkutan awam kepada 120,000 orang sehari daripada 94,000 orang pada ketika ini.

Ini merupakan inisiatif kerajaan dalam meringankan beban kos sara hidup memandangkan kos pengangkutan adalah faktor ketiga tertinggi. 

Dapatan Audit Forensik FELDA

1.Kerugian pelaburan dan kemerosotan nilai aset FELDA dan FIC. Berdasarkan maklumat di dalam Penyata Kewangan beraudit FELDA bagi tahun berakhir 31 Disember 2017, kerugian atau kemerosotan nilai aset yang dihadapi adalah lebih kurang 50% daripada nilai pelaburan asal yang berjumlah RM4.4 bilion, iaitu mencecah RM2.2 bilion seperti yang ditunjukkan dalam Paparan 1. Jumlah
penjejasan nilai ini adalah sebelum mengambil kira nilai semasa tiga aset yang dibeli di United Kingdom (UK) dan nilai semasa GBHSB.

2. Laporan perakaunan yang tidak tepat. Penjejasan nilai di Paparan 1 juga menunjukkan sebahagian penjejasan tidak dibuat dalam Penyata Kewangan FELDA atau FIC pada tahun yang sepatutnya.

3. Kajian forensik ke atas Projek-Projek mendapati kegagalan tadbir urus dan kepincangan kawalan dalaman secara keseluruhan di FELDA dan FIC. Antaranya, Lembaga Pengarah atau pihak pengurusan gagal melaksanakan kajian secara terperinci dan menyeluruh sebelum pelaburan dimuktamadkan. Terdapat juga beberapa pelaburan dan pembelian yang diluluskan oleh Lembaga Pengarah FELDA dan FIC tanpa melalui proses ‘due diligence’, tanpa kajian unjuran/ kemungkinan dan tiada maklumat/ informasi terperinci berkenaan Projek-Projek dalam kertas kerja yang dibentang kepada Lembaga Pengarah FELDA dan FIC. Di samping itu, tiada rekod dalam minit mesyuarat yang menunjukkan terdapat perbincangan dan penjelasan keputusan Lembaga Pengarah FELDA dan FIC walaupun risiko telah dibangkitkan dalam laporan ‘due diligence’ atau kajian tambahan telah dibentang kepada Lembaga Pengarah FELDA dan FIC.

4. Tambahan pula, budaya pematuhan kepada dasar dan kawalan dalaman adalah lemah serta tidak konsisten. Terdapat juga elemen ketidakpatuhan dan salah laku yang mana pihak pengurusan FELDA dan FIC telah mengambil beberapa tindakan berkaitan pembelian tanpa kelulusan Lembaga Pengarah atau bertentangan dengan keputusan Lembaga Pengarah/ Jawatankuasa Pelaburan. Pengurusan FELDA dan FIC juga tidak memberi maklumat yang tepat dan lengkap kepada Lembaga Pengarah sebelum keputusan pembelian atau pelaburan aset dibuat.

5. Berdasarkan dapatan kajian forensik ke atas lapan pembelian atau pelaburan aset, terdapat kemungkinan isu yang sama dalam pembelian atau pelaburan aset lain oleh FELDA dan FIC. Oleh yang demikian, pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah FELDA dan FIC dicadang untuk memeriksa dan menimbang sama ada nilaian semula perlu diambil kira terhadap aset lain FELDA dan FIC, sekiranya relevan.

6. Selain itu, Kerajaan boleh mempertimbangkan penyemakan semula Akta Pembangunan Tanah 1956 (Akta 474) untuk memperkenalkan elemen-elemen ‘check and balance’ yang sesuai. Ini akan memastikan kawalan fundamental bagi melindungi kepentingan FELDA. Sebagai contoh, bekas Pengerusi FELDA memegang jawatan pengerusi di hampir semua lembaga pengarah dan jawatankuasa penting di FELDA. Ini boleh dielakkan pada masa akan datang melalui peruntukan di dalam Akta yang memastikan elemen ‘check and balance’.

Kajian forensik yang dilakukan oleh EY (firma audit terkemuka) terhadap Felda. Tapi penyokong BN lebih percaya dengan audit Bossku.

Penetapan baru untuk kurangkan kos sara hidup

Berdasarkan hasil Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Kedua, pihak KPDNHEP akan melaksanakan beberapa perkara yang telah ditetapkan untuk memastikan kos sara hidup negara dapat dikurangkan.

Cadangan menambahkan beberapa item makanan terpilih sebagai barangan kawalan sebelum ini telah berjaya dilakukan. Ayam standard, telur ayam gred C, kobis bulat import, ikan kembung dan kelapa biji akan menjadi barangan kawalan. Mekanisme pelaksanaan cadangan ini akan dibincangkan bersama kementerian berkaitan.

Kerajaan memahami perniagaan dalam talian (e-dagang) berjaya mengurangkan peranan orang tengah dalam urus niaga seterusnya memberikan harga barangan lebih murah. Untuk memperkasa lagi sistem perniagaan ini kepada sistem e-dagang tanpa tunai, KPDNHEP akan menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Kebangsaan E-dagang . Jawatankuasa tersebut akan menguatkuasakan undang-undang dan menerima aduan pengguna berkenaan perniagaan dalam talian (online).

Justeru, diharapkan agar usaha ini mampu membantu rakyat menangani kenaikan harga barang dan seterusnya mengurangkan kos sara hidup. Pelbagai langkah proaktif lain akan dimainkan oleh pihak kementerian bagi memastikan usaha-usaha mengurangkan kos sara hidup negara berjaya dilakukan.

Pembangkang halang usaha angkat Sabah & Sarawak

Parlimen hari ini bersidang sehingga jam 10:30 malam bagi menentukan samada pindaan Perlembagaan #MA63 dapat diluluskan.

Proses ini memerlukan 2/3 sokongan Ahli Parlimen atau 148 undi.

Keputusan undian malam ini:-

Menyokong – 138

Tidak Bersetuju – 0

Berkecuali – 59

Pindaan ini tidak berjaya diteruskan dalam keadaan GPS mahupun BN berpeluang bersama mengangkat martabat Sabah & Sarawak.

Bersimpati dengan rakyat Sabah & Sarawak yang terpaksa terus menunggu.

Program Citarasa Malaysia bantu PKS

Program ini merupakan program di bawah KPDNHEP yang bertujuan memperluas pemasaran produk usahawan tempatan (PKS) ke hypermarket/pasaraya dengan tema beli barangan buatan Malaysia.

Dalam masa yang sama ini merupakan inisiatif pihak kementerian membantu usahawan PKS mempertingkatkan kualiti produk tempatan serta merangka strategi perniagaan yang lebih kompetitif di pasaran domestik.

Sejak dilancarkan pada tahun 2013, sebanyak 500 jenama syarikat PKS tempatan berjaya dipromosikan sehingga ke hari ini.

Siri jelajah program pada tahun ini akan dilaksanakan di empat belas buah lokasi di seluruh Malaysia dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) , Majlis Amanah Rakyat (MARA), Sirim Berhad dan Lembaga Koko Malaysia (LKM).

Sehingga kini, sejumlah 1,762 pengusaha PKS tempatan dengan jenama dan produk tersendiri telah berdaftar dengan KPDNHEP dan berdasarkan pemantauan yang dilakukan, hampir 15% daripadanya telah berjaya disenaraikan di seluruh pasaraya seluruh negara.