Hari Pertama Kempen: #ChallengeForChange

Hari ini pasukan Pemuda Harapan telah memulakan kempen di Daerah Mengundi Taman Kelab Tuanku. Kami membuat kerja-kerja pembersihan laman dan sedikit ‘deco’ dalaman bagi menceriakan rumah Puan Senthamarai.

Program seperti ini sedikit sebanyak memberikan impak jangka masa panjang kepada pemilik rumah. Tenaga kerja anak muda disalurkan kepada kerja-kerja yang memberikan manfaat.

Program ini turut disertai oleh jentera pemuda Harapan daripada beberapa buah negeri.

Pada masa yang sama, kami turut sempat bertegur sapa dengan jiran-jiran dan penduduk setempat. Alhamdulillah mereka bersikap terbuka dengan kehadiran kami yang agak ramai di kawasan kejiranan mereka.

Kebetulan bertempung dengan pasukan culaan Harapan daripada Melaka yang melakukan kempen secara terus kepada penduduk setempat.

Pelbagai program telah disusun oleh Pemuda Harapan bagi memenangkan calon Dr Streram dalam PRK DUN Rantau kali ini.

Jentera Pemuda Sudah Bersedia!

RUMUSAN HARI PERTAMA: JENTERA PEMUDA SUDAH BERSEDIA

Alhamdulillah selesai penamaan calon pada siang tadi. Akhirnya Dr Streram berpeluang untuk menawarkan dirinya untuk berkhidmat kepada warga Dun Rantau.

Terima kasih kepada penyokong-penyokong Pakatan Harapan daripada seluruh negara yang telah hadir menunjukkan sokongan.

Pelbagai program telah diatur bermula esok pagi. Berdasarkan angka dan statistik, tidak mustahil Harapan mampu merampas Dun Rantau. Dengan syarat usaha keras jentera kempen sehingga hari pengundian.

InsyaAllah saya akan turut serta dalam program-program Pemuda Harapan bagi berjumpa dengan pengundi Dun Rantau seramai yang mungkin!

Persediaan PRK DUN Rantau

Malam ini telah diadakan sesi perbincangan dengan pimpinan Pemuda Harapan di Bilik Gerakan Pemuda Harapan di Dun Rantau.

Pada masa yang sama, satu sidang media telah diadakan. Pemuda Harapan telah menzahirkan komitmen untuk membantu perjalanan kempen bagi memenangkan calon Pakatan Harapan Dr Streram.

Gerak kerja yang dirangka akan dimulakan sebaik sahaja selesai penamaan calon pada hari esok.

InsyaAllah pemuda Harapan akan membantu sebaik mungkin demi kemenangan Pakatan Harapan!

Sesi perbincangan bersama TalentCorp

Saya telah dijemput ke Pejabat Talent Corp siang tadi (waktu rehat tengah hari Parlimen) untuk memahami peranan dan operasi mereka dengan lebih dekat lagi.

Mereka telah mula beroperasi sejak tahun 2011 dan saya pernah berkunjung ke salah satu ‘engagement’ mereka dengan pelajar Malaysia di luar negara pada tahun 2014.

Ada tiga penumpuan utama mereka dalam soal tenaga kerja:-
1) Graduan Malaysia 
2) Rakyat Malaysia yang bekerja profesional di luar negara (yang boleh dibawa pulang ke negara atau networking) 
3) expat, tenaga pakar yang diperlukan untuk bekerja di Malaysia.

Salah satu finding yang menarik adalah terdapat peningkatkan hampir 20% rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara memohon untuk balik selepas PRU 2018 (mungkin euphoria berlakunya perubahan politik).

Dalam proses penyusunan semula agensi kerajaan, Talent Corp kini diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Saya rasa elok usaha sebegini dikekalkan sementara diakui masih terdapat beberapa perkara yang perlu diselaraskan.

Bagi saya, secara dasarnya kita perlu terus memperkemaskan kaedah untuk memastikan produktiviti tenaga kerja terus ditingkatkan (job matching yang lebih tepat, kemahiran yang lebih baik dll) dan diikuti dengan gaji atau pendapatan yang setimpal bagi pekerja tempatan.

Makanan “Food Truck” mahal?

Perniagaan secara food truck merupakan perniagaan yang unik kerana mudah bergerak dan sudut peragaan barangan yang lebih baik. Memandangkan perniagaan food truck termasuk dalam Pelan Inisiatif Strategik Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil 2015-2020, maka Program Transformasi Peniaga (Food Truck) telah diwujudkan oleh KPDNHEP.

Melalui program ini, peniaga kecil akan diberikan bantuan pinjaman sebanyak RM 100,000 bagi tujuan pembelian food truck. Pembelian kenderaan ini mampu mempertingkat bakat dan mengembangkan perniagaan. Selain itu, peniaga turut dilatih melalui Kursus Pemantapan Usahawan Food Truck oleh pihak kementerian secara percuma bagi mempertingkatkan keberkesanan perniagaan

Namun, rata-rata reaksi netizen menggambarkan bahawa harga makanan yang dijual oleh peniaga-peniaga Food Truck adalah lebih mahal daripada biasa.

Patut pantau harga tapak, pastu pantau harga makanan. Ni ramai ‘duk’ makan atas angin, itu yang harga makanan mahal. Sepatutnya harga murah dari kedai, ini tidak.

Hafiz Rahman

Oleh yang demikian, saya berpendapat model perniagaan Food Truck perlu diteliti semula bagi melihat faktor-faktor yang menyumbang kepada jualan harga makanan yang mahal.

Tidak dinafikan pernigaan Food Truck adalah trend perniagaan yang banyak diceburi oleh orang muda disebabkan kemudahan mobiliti dan konsepnya yang unik.

Namun begitu, harga makanan yang ditawarkan perlulah berpatutan agar dapat menarik pelanggan. Pada masa yang sama, kerajaan juga boleh membantu merangka model perniagaan yang lebih mapan agar peniaga tidak menanggung kos yang terlalu tinggi.

Lawatan Jentera AMK Rantau

Perbincangan dan perkongsian bersama AMK di Rantau.

Minggu lepas selepas sidang Parlimen saya ke Negeri Sembilan untuk penerangan manakala pada hari Ahad saya telah berjumpa dengan kumpulan jentera yang akan bertugas selepas program pengenalan calon.

Walaupun berhadapan dengan cabaran yang sukar tapi insyallah kita buat persediaan sebaiknya.

Lawatan ke tapak pencemaran kimia di Pasir Gudang

Pada hujung minggu lepas, saya telah meluangkan masa bersama penduduk di Taman Kebun Teh #ParlimenJB

Syabas kepada Persatuan Penduduk yang berjaya wujudkan suasana yang aman & muhibah.

Kemudian, saya telah membuat lawatan ke Pasir Gudang.

Terima kasih kepada petugas-petugas dan sukarelawan yang terus membantu melancarkan operasi menyelamat dan bantuan.

Saya sememangnya tidak mahu mengganggu fokus & tugasan mereka, tetapi saya singgah juga untuk memberi semangat serta untuk mendapatkan penjelasan terkini mengenai trend pencemaran.

Insyallah keadaan terkawal dan bertambah baik, ada petugas minta kita sama-sama doakan dipermudahkan menghadapi musibah ini.

Hari ini mereka yang mendapatkan rawatan kesihatan semakin berkurangan.

Bantuan-bantuan kecilan dari Parlimen JB kita salurkan sejak beberapa hari lalu dari semasa ke semasa bagi memudahkan keadaan.

Saya juga berpesan kepada petugas untuk kekal bersemangat dan ambil ruang berehat juga untuk jaga kesihatan masing-masing.

Alhamdulillah saya sempat ke Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi pagi tadi sementara semalam saya di Sekolah Bandar Uda 2.

Terima kasih kepada guru-guru, ibu bapa dan murid-murid atas kesungguhan menjayakan majlis dan juga komitmen untuk tingkatkan pencapaian sekolah.

Insyallah saya akan teliti dari segi permasalahan yang dikemukakan.

Sementara wakil saya hadir di Kejohanan Catur Remaja.

Foodbank dan i-KeeP, usaha kerajaan tangani harga barang mahal

(BAHAGIAN 2)

Indeks Harga Pengguna atau Consumer Price Index (CPI) merupakan kayu pengukur kenaikan harga barang ataupun inflasi, yang sedikit sebanyak memberi petunjuk mengenai turun naik harga barang dalam pasaran.

Inflasi diukur atau dikira mengikut kumpulan harga barangan tertentu iaitu bakul barangan atau basket of goods. Kumpulan harga barangan semasa akan dibandingkan dengan harganya sebelum ini bagi menilai perubahan harga dalam tempoh tertentu.

Setiap kategori barangan dan perkhidmatan mempunyai pemberat atau weightage berbeza yang menyumbang kepada angka indeks CPI. Pemberat yang ditetapkan bagi setiap kategori barangan dan perkhidmatan di atas melambangkan corak perbelanjaan pengguna.

Tiga kumpulan harga utama yang mempengaruhi CPI ialah makanan dan minuman bukan alkohol, (2) perumahan (iaitu termasuk air, elektrik serta gas) dan (3) Pengangkutan (iaitu termasuk harga minyak).

Berdasarkan data terbaru yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Indeks CPI bagi bulan Januari 2019 mencatatkan angka -0.7 peratus. Namun, penurunan kadar CPI ini seolah-olah gagal diterjemah kepada penurunan harga barang yang boleh dirasai oleh rakyat.

Bahkan, biarpun semakan harga oleh KPDNHEP menunjukkan penurunan, rakyat terutamanya golongan B40 masih lagi terbeban terutamanya dengan harga barang makanan.

Jadi apa usaha yang dibuat oleh kerajaan?

Pertama, KPDNHEP telah melancarkan satu program berimpak tinggi yang mampu memanfaatkan lebihan makanan yang diberi nama Program Food Bank. Program Food Bank adalah satu pendekatan bagi mengumpulkan lebihan makanan yang masih boleh diguna dan untuk diagihkan kepada kumpulan sasaran oleh persatuan dan pertubuhan amal.

Usaha seperti ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran, tetapi juga memberikan manfaat khususnya kepada isi rumah B40. Melalui inisiatif ini, sebanyak 945 tan metrik lebihan makanan berjaya diselamatkan setakat November tahun lalu dan disalurkan kepada 26,200 isi rumah di seluruh Malaysia.

Kedua, KPDNHEP juga telah memperkenalkan Inisiatif Kedai Ekonomi Rakyat atau I-KeeP. I-KeeP menawarkan barang keperluan harian pada harga 3 hingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran di premis kendalian rakan strategik peruncitan yang menyertai program itu.

I-KeeP diperkenalkan bagi menggantikan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M), yang telah gagal (seperti yang diakui oleh bekas Timbalan Menteri Kewangan Kedua Dato’ Seri Johari Abdul Ghani) dan tidak mendapat sambutan disebabkan model perniagaan yang tidak mampan. Disebabkan itu, peruntukan wang rakyat RM300 juta untuk program KR1M juga turut terbazir begitu sahaja.

Perbezaan kos sara hidup dan inflasi

(BAHAGIAN 1)

Menurut Laporan BNM Suku Tahunan 2017, terdapat tiga faktor yang membezakan kos sara hidup dengan inflasi.

Pertama, kos sara hidup dan inflasi merupakan dua konsep yang berbeza. Inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) dikira berdasarkan satu bakul barangan dan perkhidmatan yang mencerminkan corak penggunaan isi rumah Malaysia secara purata dan harga purata dalam ekonomi.

Setelah mengambil kira perbezaan corak perbelanjaan dan harga di pelbagai lokasi, inflasi IHP keseluruhan tidak akan mencerminkan dengan tepat kos sara hidup seseorang individu.

Kedua, walaupun IHP hanya mempertimbang perubahan tahunan harga barangan dan perkhidmatan, perbincangan mengenai isu kos sara hidup turut melibatkan aspek pendapatan.

Isi rumah menerima kesan daripada kenaikan kos sara hidup bukan hanya apabila kos meningkat bahkan apabila pendapatan mereka tidak meningkat sejajar dengan kenaikan kos, yang seterusnya menyebabkan kuasa membeli mereka berkurang.

Ketiga, persepsi orang ramai terhadap kenaikan harga juga berdasarkan pada beberapa pandangan berperasangka yang semulajadi. Ia mungkin disebabkan corak perbelanjaan setiap pengguna yang memiliki keperluan dan kehendak yang berbeza-beza.

Meskipun dalam persekitran inflasi yang rendah, rakyat masih merasakan bahawa kos sara hidup telah meningkat dengan drastik sejak beberapa tahun kebelakangan ini seperti yang digambarkan oleh inflasi anggapan PePI.

Prasangka ini diperkuatkan lagi dengan pengenalan cukai GST pada tahun 2014. Situasi yang lebih buruk dirasai di kawasan bandar di mana kadar inflasinya lebih tinggi berbanding peratusan peningkatan gaji setiap tahun.

Oleh itu, saya menyambut baik usaha terbaru kerajaan yang diumumkan oleh YB Menteri Kewangan untuk memperkenalkan Indeks Kos Sara Hidup bagi mengukur kos sara hidup sebagai kaedah membantu majikan menetapkan kadar gaji yang bersesuaian.

WUJUDKAN EKOSISTEM KEUSAHAWANAN BERASASKAN INOVASI

Dalam keadaan negara yang menghadapi masalah pengangguran belia yang serius, sektor keusahawanan sepatutnya dilihat sebagai alternatif kepada golongan ini dalam menjana pendapatan dan seterusnya menjadikannya sebagai kerjaya tetap mereka.

Kerajaan seharusnya memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menggalakkan penglibatan belia dalam dunia keusahawanan. Program-program outreach perlu digalakkan sama ada di sekolah atau di universiti bagi memberikan pendedahan awal kepada golongan yang berpotensi.

Menurut hasil kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), peratusan usahawan di Malaysia agak kecil iaitu tidak melebihi 26% daripada keseluruhan penduduk bekerja dalam tempoh 25 tahun. Peratusan tersebut juga didapati menunjukkan trend yang menurun daripada 25.1% pada 1982 kepada 20.9% pada 2008.

Kajian yang telah dijalankan oleh Charles Banfe (1991) mendapati lebih kurang 25% daripada keseluruhan populasi usahawan yang berjaya di Amerika Syarikat, memiliki ijazah sarjana. Manakala lebih kurang 20% mempunyai diploma sekolah tinggi dan sarjana kedoktoran pula kira-kira 10%.

Ini menunjukkan usahawan lepasan kolej yang mempunyai ijazah merupakan golongan yang tertinggi berjaya sebagai seorang usahawan. Namun begitu, semakin tinggi tahap pendidikan seseorang, maka motivasi mereka untuk menjadi usahawan adalah semakin rendah. Ini disebabkan graduan dari universiti akan mendapat bayaran upah yang lebih tinggi jika mereka mencapai prestasi yang baik dalam sektor pekerjaan.

Oleh yang demikian, saya melihat kepada keperluan kerajaan untuk mewujudkan ekosistem usahawan yang berasaskan inovasi seperti ekonomi digital.

Pewujudan ekosistem seperti ini akan menarik minat pelabur-pelabur
antarabangsa mahupun tempatan sama ada pelabur institusi, swasta
ataupun individu.

Dengan menyuburkan sektor keusahawanan digital berasaskan inovasi,
secara tidak langsung ia akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan
berkemahiran tinggi (atau yang baru wujud) seperti data analyst,
developer, UI/UX designer dan sebagainya.

Ini seterusnya akan menjurus kepada peningkataan jenis pekerjaan
berkemahiran tinggi yang boleh meransang pertumbuhan tenaga kerja
berkualiti tinggi dalam kalangan rakyat tempatan.