KESAN PERANG DAGANG KEPADA EKONOMI

SIRI 2 #TRADE

Di sini saya ingin menceritakan sambungan daripada siri pertama dengan secara ringkas sahaja kesan perang dagang terhadap ekonomi Malaysia.

Sudah pasti banyak lagi kesan-kesan lain secara langsung dan tidak langsung terhadap perniagaan dalam negara yang memerlukan kajian dan pemahaman yang lebih tinggi dalam isu ini.

Seperti yang telah dilaporkan, Bursa Malaysia telah mencatatkan peningkatan aliran masuk bersih dana asing sejak beberapa minggu yang lalu. Memang tidak boleh dinafikan bahawa perkembangan ini ‘dibantu’ oleh perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Secara keseluruhan, Malaysia tidak terjejas secara langsung disebabkan persengketaan antara dua buah negara tersebut. Namun, terdapat peluang di mana Malaysia mampu meningkatkan nilai eksport ke AS dan China. Peningkatan eksport sudah pasti dapat menyumbang kepada ekonomi negara disebakan peningkatan pengeluaran dan tukaran mata wang asing.

Contohnya, Malaysia boleh mengisi ruang yang dikenakan tarif, contohnya minyak soya yang diimport oleh China dari AS, berkemungkinan akan menaikkan permintaan untuk minyak kelapa sawit di Malaysia.

Menurut Kementerian MITI, perdagangan Malaysia-China terus berkembang pada kadar lebih tinggi berbanding dengan rakan dagang lain. Bagi tempoh Januari hingga November 2018, keseluruhan perdagangan Malaysia meningkat 6.2 peratus berbanding tempoh yang sama 2017, menyumbang 6.9 peratus pertumbuhan kepada eksport dan 5.3 peratus kepada import.

Namun begitu, kita tidak boleh menafikan kelembapan ekonomi global yang mungkin terjadi disebabkan perang dagang ini. Tarif yang dikenakan bertujuan untuk melindungi industri tempatan boleh menjejaskan pendapatan kedua-dua buah negara untuk jangka masa pendek dan panjang.

Pengurangan barang dagangan ekspot China ke AS akan memaksa negara tersebut untuk mengurus kewangan dan berbelanja dengan lebih berhemah. Apabila kuasa besar ekonomi seperti China mengambil keputusan untuk mengurangkan perbelanjaan, ini sudah pasti akan dapat dirasai negara-negara kecil dan membangun seperti Malaysia, yang bergantung kepada pendapatan perdagangan.

Suasana ketidaktentuan dalam pasaran ini akan membuatkan pelabur lebih berhati-hati dan lebih gemar untuk hanya melihat. Ini seterusnya akan lebih memburukkan keadaan dan membawa kepada krisis ekonomi yang kritikal.

Oleh itu, negara AS dan China perlu segera mencari jalan tengah bagi mencapai persetujuan bersama. Perang dagang yang berlanjutan hanya akan lebih memburukkan keadaan dan dalam jangka masa panjang, ia boleh membawa kepada kelembapan ekonomi global yang lebih buruk.

GAGAL HANTAR ANAK KE SEKOLAH AKAN DIDENDA?

Kerajaan sedang mengkaji semula Akta Pendidikan Negara untuk mewajibkan murid-murid melengkapkan persekolahan dari darjah satu sehingga tamat tingkatan lima.

Untuk pengetahuan, Akta Pendidikan Negara kini hanya mewajibkan murid-murid untuk melengkapkan persekolahan dari Tahun Satu sehingga Tahun Enam sahaja.

Oleh itu, menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata ibu bapa yang gagal menghantar anak ke sekolah berdepan kemungkinan dikenakan denda sebanyak RM5,000 ataupun penjara selama enam bulan.

Namun begitu, hukuman ini juga mengambil kira faktor masalah yang mungkin dihadapi oleh ibu bapa untuk tidak menghantar anak ke sekolah khususnya seperti masalah kewangan dan kemudahan persekolahan.

Oleh yang demikian, hukuman ini lebih bersasarkan kepada golongan ibubapa yang tidak bertanggungjawab dan tidak memikirkan masa depan anak sendiri.

Saya telah meneliti komen-komen yang ditinggalkan oleh para netizen mengenai perkembangan ini. Rata-ratanya menunjukkan reaksi yang bercampur.

Selain itu, terdapat juga netizen yang memberikan cadangan untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Pendidikan.


Tiada ibu bapa yang dengan niat tidak mahu anaknya melanjutkan persekolahan mereka jika tidak mengalami kesempitan hidup. Mereka ini terpaksa bekerja untuk membantu ekonomi keluarga menyebabkan mereka tercicir alam persekolahan. Ini bukan pilihan tetapi ini sahaja jalan untuk meneruskan hidup. Cadangan saya untuk mengatasi masalah ini, kerajaan ambil mereka sebagai anak angkat negara yang menyediakan persekolahan mereka dan cuba tingkatkan ekonomi keluarga mereka.

Khairul Hafiz Mohamed, pengguna facebook


Di negara maju, diorang ada social welfare services. Macam anak anak yang terbiar akan dirampas hak penjagaan diorang, dihantar ke asrama atau sistem ibu bapa angkat dimana setiap anak angkat akan dibayar RM1000 sebulan.

Mohd Azwan Adnan, pengguna facebook

Yang pasti, perlu lebih banyak kajian dijalankan bagi mengenal pasti langkah yang efektif bagi mencapai 100 peratus anak-anak bersekolah. Perkara ini harus diperhalusi daripada pelbagai aspek melibatkan ibu-bapa, kanak-kanak, struktur masyarakat dan sebagainya.

PENUBUHAN MAJLIS TINDAKAN EKONOMI LANGKAH TEPAT?

Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir memberi petunjuk bahawa kerajaan sekarang mengambil serius masalah kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Pertama kali Majlis Tindakan Ekonomi ditubuhkan adalah pada tahun 1998 semasa negara terperangkap dalam krisis kewangan global yang telah memberi kesan kepada kebanyakan negara Asia waktu itu.

Masalah kos sara hidup boleh disimpulkan kepada dua perkara.

1. Gaji rendah
2. Harga barang tinggi

Harga barang tinggi di sini mungkin merujuk kepada harga rumah, harga barang keperluan asas, harga petrol atau minyak mentah, harga kenderaan dan sebagainya.

Contohnya, berdasarkan Laporan Indeks Harga Rumah Malaysia, pada suku ketiga 2017, harga purata untuk semua rumah di Malaysia mencecah RM410,050. Harga telah meningkat daripada RM385,201 (Q3 2016) dan
RM401,905 (Q2 2017). Walhal gaji graduan universiti masih kekal di paras RM2,000 sebulan!

Selain itu, artikel Dimensi Koop menunjukkan bahawa gaji di UK adalah tiga kali ganda nilainya lebih tinggi jika dibandingkan dengan Malaysia. Malah, seseorang individu di UK mampu membeli sebuah BMW berdasarkan gaji diterima tetapi di Malaysia, seseorang individu hanya mampu membeli kereta Viva dengan pinjaman bank.

Umum mengetahui bahawa Malaysia mengalami kadar kenaikan gaji yang rendah setiap tahun. Menurut Laporan Produktiviti 2015/16 yang secara jelas menunjukkan kadar kenaikan jumlah imbuhan kepada pekerja (dalam bentuk gaji, caruman dan pampasan) sebenarnya telah menurun dari 5.3% (2011) kepada 3.8% (2015).

Ini menunjukkan bahawa isu ekonomi adalah isu yang kompleks yang melibatkan pelbagai pemegang taruh.

Namun, adakah Kabinet sekarang boleh dikatakan gagal?

Saya merasakan persoalan itu terpulang kepada rakyat untuk menilainya.

Yang pasti, isu kos sara hidup adalah satu isu yang perlu ditangani bersama. Ia melibatkan ahli politik (penggubal dasar), majikan, pemilik perniagaan, pelabur dan sebagainya.

Dasar ekonomi tidak boleh digubal sewenang-wenangnya kerana boleh menyebabkan gangguan kitaran ekonomi yang tidak diingini yang boleh membawa kesan yang lebih buruk.

Kerajaan Pakatan Harapan mempunyai masa lima tahun untuk membuktikan kepada rakyat kemampuan menangani masalah kos sara hidup ini.

PERANG DAGANG ANTARA AS DAN CHINA – SIAPA DULU, AYAM KE TELUR?

SIRI 1 #TRADE

Saya sengaja kongsikan sedikit senario dunia sementara masing-masing hangat dengan situasi politik Malaysia.

Dua kuasa besar ekonomi dunia, Amerika Syarikat dan China telah terlibat dalam satu perang dagang (trade war) yang sudah berlanjutan sekian lama dan semakin menjadi-jadi Januari tahun lepas.

Ketidakstabilan dalam sektor perdagangan dunia ini bermula apabila Presiden Donald Trump mula mengenakan tarif kepada barang-barang import seperti panel solar (solar cells) dan mesin basuh besar (large residential washing machine).

Kemudian, Amerika Syarikat sekali lagi mengumumkan pelaksanaan tarif import terhadap bahan mentah kepada besi dan aluminum (steel and aluminum) pada March 2018.

Pada 22 Mac 2018, siasatan seksyen 301 mendapati China terlibat dalam aktiviti dagangan yang tidak jujur (discriminatory trade practices) untuk pemindahan teknologi, harta benda intelektual (intellectual property) dan inovasi. Berdasarkan perkembangan itu, Presiden Trump telah mengarahkan The Office of the United States Trade Representative (USTR) untuk mengenakan tarif kepada barangan import China yang bernilai 50 bilion USD.

China kemudiannya bertindak balas dengan mengenakan tarif kepada barang-barang yang diimport daripada AS yang bernilai 3 bilion USD.

Ini bersamaan lebih kurang RM 12,000,000,000.00 !!

Kedua-dua buah negara terus berbalas-balas ‘serangan’ dengan meluaskan cukai import terhadap barang-barang dagangan mereka. Maka bermulalah perang dagang antara dua kuasa besar ekonomi dunia.

Apa itu TARIF?

Kalau mereka yang kurang pasti, tarif ialah sejenis cukai yang dikenakan ke atas barangan apabila mereka dibawa masuk merentasi suatu sempadan negara.

Pengenalan tarif ini sudah pasti akan memaksa peniaga di Amerika Syarikat dan China yang terpaksa menaikkan harga barang disebabkan cukai yang tinggi. Ini seterusnya boleh memberi kesan kepada keuntungan perniagaan disebabkan pelanggan yang memilih untuk mencari alternatif yang lebih murah.

Sekatan tarif ini sudah semestinya memberi kesan ekonomi kepada kedua-dua buah negara. Malahan, negara serantau juga turut merasai kesan akibat perang dagang yang sedang berlaku ini.

Apakah kesannya kepada Malaysia?

Bagaimana kita boleh bermanfaat dalam situasi ini?

PERJUMPAAN BERSAMA MPP UiTM SHAH ALAM

Pada hari Khamis lepas, saya telah melapangkan masa untuk bersua muka dengan Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam.

Asalnya santai tapi saya lontarkan pandangan yang serius mengenai keperluan melihat pembangunan negara merentas pandangan kaum semata-mata.

Alhamdulillah mereka sambut baik dengan dialog yang membangkitkan soalan-soalan yang ilmiah merangkumi sudut ekonomi, politik dan sosial.

Moga perbincangan tadi akan mewujudkan dinamik dan suasana yang lebih proaktif di kalangan pimpinan mahasiswa dan juga kampus.

PERTUMBUHAN KDNK PKS KUKUH 7.2%

Industri keusahawanan melalui perniagaan kecil dan sederhana (PKS) telah menunjukkan pekembangan yang memberansangkan sejak kebelakangan ini.

Pertumbuhan KDNK PKS telah mengatasi pertumbuhan KDNK keseluruhan sejak penubuhan Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan pada tahun 2004. Pada tahun 2017, KDNK PKS Malaysia merekodkan pertumbuhan kukuh 7.2% berbanding 5.2% yang dicatatkan pada tahun 2016. Prestasi ini mengatasi KDNK Malaysia dan Bukan PKS yang masing-masing mencatatkan 5.9% dan 5.1%.

Meniti era IT kini, segelintir rakyat Malaysia telah berani melibatkan diri dalam perniagaan keusahawanan dan menjadikannya sebagai kerjaya. Beberapa startups Malaysia juga telah berjaya menembusi pasaran Asia seperti Carsome, iflix, Grab dll. Dengan kadar peratusan sumbangan KDNK PKS kepada KDNK Nasional yang semakin meningkat, ia menggambarkan perkembangan positif dunia keusahawanan di Malaysia.

Perkembangan ini sepatutnya menarik minat terutamanya golongan belia untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan atau startups. Ditambah lagi dengan sokongan kewangan daripada agensi-agensi kerajaan dan juga crowdfunding platform yang wujud berkembang.

Bidang keusahawanan kini mungkin boleh dibahagikan kepada dua:

  1. IT based (“startup”): Melibatkan pembangunan aplikasi telefon pintar (smartphone) dan memerlukan modal perniagaan yang besar
  2. Non-IT based (tradisional): Perniagaan yang lebih berbentuk fizikal yang memiliki kedai dan inventori

Mendepani Revolusi Industri 4.0, kerajaan telah menggalakkan industri PKS untuk mula mengguna pakai teknologi IT bagi membantu mengembangkan perniagaan mereka. Pendigitalan perniagaan akan dapat membantu para usahawan mengurus perniagaan dengan lebih cekap di samping meneroka potensi pasaran baru bagi barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan.

SAMBUTAN TAHUN BARU CINA 2019

Pada hujung minggu lepas, saya telah berkesempatan untuk menyertai program bagi menyerahkan sumbangan yang disediakan oleh DUN Larkin di Capital City Mall, Johor Bahru.

Penerimanya terdiri daripada warga Tionghua dari Kg Ungku Mohsin, Flat Larkin dan sekitar Taman Abad.

Kemudian, pada hari Selasa, saya telah bersama-sama dengan YAB Menteri Besar, pimpinan, masyarakat Tionghua & Cina di Sri Tebrau, Johor Bahru untuk sambutan Tahun Baru Cina.

Semoga keharmonian & kebahagiaan terus berkekalan. Selamat Tahun Baru Cina, moga tahun ini dimurahkan rezeki. GONG XI FA CAI!

MESYUARAT MPP AMK YANG PERTAMA

Hari ini saya telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) AMK yang pertama sesi 2018-2021 di Ibupejabat KEADILAN siang tadi.

Terima kasih diucapkan kepada EXCO-EXCO AMK yang hadir dari seluruh negara dari Perlis ke Johor serta Sabah dan Sarawak.

Saya telah kemukakan kepada Ahli Mesyuarat untuk AMK menumpukan kepada soal-soal rakyat dan dasar untuk membantu anak muda selain membahaskan isu kepartian.

Kami juga berbincang panjang mengenai PRK Semenyih dalam usaha memenangkan calon HARAPAN.