LAWATAN MENGEJUT DI KG MELAYU MAJIDEE


Solat Jumaat di Masjid Kg Dato Sulaiman Menteri.

Pada hujung minggu lalu, saya telah turun ke beberapa kawasan dalam Parlimen Johor Bahru dan sempat melakukan satu lawatan mengejut ke sebuah kawasan.

Pada hari Jumaat, saya sempat melakukan solat Jumaat di Masjid Kg Dato Sulaiman Menteri. Ketua Kampung, Tok Zaini telah usahakan dengan sekolah berdekatan untuk kita sama-sama bantu murid-murid yang memerlukan.

Kemudian, sempat minum dan sembang panjang dengan beberapa penduduk mengenai permasalahan setempat. Terdapat beberapa aduan yang saya kira perlu diambil tindakan secepat mungkin. Insyallah saya akan berbincang dengan pejabat pusat khidmat rakyat dan juga pihak berkuasa tempatan bagi mencari satu solusi yang berkesan.

InsyaAllah kita akan cuba untuk lakukan yang terbaik untuk masyarakat setempat.

Usai solat Jumaat, saya telah melakukan satu lawatan mengejut di sekitar Jalan Budiman, Kg Melayu Majidee. Ini kerana penduduk setempat telah melahirkan kebimbangan atas kerja-kerja yang sedang dijalankan.

Projek pembesaran landasan keretapi akan memberi kesan kepada rumah-rumah tersebut yang dibina terlalu berhampiran dengan trek. Notis telah dikeluarkan tetapi saya akan usahakan satu mesyuarat bersama dengan mereka yang terlibat.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Penghulu, Ketua Kampung, Ahli Majlis dan wakil-wakil penduduk yang turut bersama dan beri kerjasama sebaiknya.

Akhir sekali, saya telah turut serta dalam satu program untuk meraikan kanak-kanak yang tinggal di rumah Kebajikan Villa Paulos, Johor Bahru. Saya berharap kumpulan ini akan diberikan perhatian yang sewajarnya oleh kelompok masyarakat setempat.

Saya yakin perkhidmatan yang diberikan oleh rumah kebajikan tersebut akan mampu memberikan penjagaan yang sebaiknya kepada mereka. Saya menggalakkan orang ramai untuk turut sama membantu sama ada daripada segi masa atau kewangan untuk kesejahteraan kanak-kanak di sini.

Moga kehadiran kami sedikit sebanyak memberikan keceriaan. Terima kasih kepada pihak pengurusan rumah kebajikan yang menjemput serta para penyumbang yang prihatin terhadap rumah Kebajikan Villa Paulos.

SUDUT PANDANGAN: NETIZEN BERBEZA PENDAPAT ISU STESEN PETROL 24 JAM

Pemilik stesen minyak mencadangkan semua stesen minyak seluruh Malaysia hanya beroperasi 18 jam sehari berbanding 24 jam.

Ini berikutan dikatakan sebagai langkah untuk mengurangkan kerugian yang bakal diserap melalui penurunan minyak menjelang 1 Januari ini selain membolehkan mereka mengurangkan kos pembayaran gaji minima yang ditetapkan kerajaan.

Saya merasakan perkara ini akan mengundang sedikit kegusaran kepada pengguna-pengguna kenderaan di Malaysia. Oleh itu, saya cuba untuk mendapatkan pandangan daripada orang ramai melalui media sosial facebook.

Antara pandangan yang menarik perhatian di ruangan komen.


Dorg bkn untung jual minyak semata.. Paling untung kedai runcit dorg tu. Korg kerajaan jgn la mudah tepedaya dgn puak ni nk desak korg ikut ckp dia. Lainla petrolpump yg kosong xde kedai mesra, kejadah apetu

Husnulhadi Hadi


Masalahnya bukannya banyak pun kos nak buka dari jam 12 mlm ke 6 pagi tu. setakat buka lampu stesen minyak & kunci pintu & upah org duduk jaga dlm stesen minyak tu lagi murah dari bayar security jaga stesen tu dlm masa tutup stesen tu!

Mohd Affendi Abas

Saya berharap stesen-stesen petrol di Malaysia dapat kekal beroperasi selama 24 jam bagi kemudahan masyarakat. Kos operasi yang minimal dari jam 12 tengah malam ke 6 pagi tidak sepatutnya membebankan pengurus stesen minyak, walaupun dalam keadaan harga minyak mentah yang rendah.

AGENDA 2019: BANTERAS GEJALA DADAH

Hari ini saya sempat meluangkan masa untuk mengadakan satu perbincangan dengan Ketua Polis Daerah (OCPD) Johor Bahru Selatan, YDH ACP Shahurinain Bin Jais pagi tadi.

Pelbagai isu telah dibincangkan yang berkaitan dengan kes-kes jenayah di Johor Bahru dan juga tahap keselematan masyarakat setempat. Pihak polis telah berusaha keras untuk mengawasi sindiket-sindiket yang mampu mengugat keamanan penduduk di Johor Bahru.

Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tuan OCPD dan pasukan polis yang terus komited menjaga keamanan dan keselamatan terutamanya sekitar Parlimen Johor Bahru.

Antara agenda utama tahun 2019 yang telah kami persetujui adalah untuk membanteras gejala dadah yang sekaligus akan mengurangkan masalah sosial dan jenayah.

BERITA BAIK UNTUK PENGUSAHA GETAH

Bermula bulan Januari ini, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menaikkan harga lantai getah skrap daripada RM2.20 kepada RM2.50 sekilogram.

Diharapkan dengan kenaikan ini, pekebun atau penoreh rasa lebih berbaloi untuk membut tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

Hal ini kerana dikatakan harga getah yang murah menjadi faktor ramai penoreh tidak membuat tuntutan tersebut.

Saya berpendapat bahawa harga-harga barang komuditi utama di Malaysia seperti getah dan kelapa sawit perlu sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa. Ini akan membolehkan tindakan drastik dapat diambil bagi menangani ketidaktentuan harga pasaran yang menjejaskan pengusaha-pengusaha tempatan.